Konsep “Malaysia untuk Rakyat Malaysia” perlu diperkuatkan

SK 的头像

Parti-parti komponen Pakatan Rakyat sedang bertungkus-lumus menarik sokongan pelbagai kaum. Parti rakan kita PAS telah menubuhkan sayap bukan Islam beberapa tahun dahulu dan sekarang sedang bersedia untuk memberi lebih pengiktirafan terhadap sayap ini bahkan memberi status yang setaraf dengan sayap-sayap lain. Mereka juga mencanangkan slogan “PAS for All” dalam pilihanraya umum lalu. Semalam, Parti KeADILan Rakyat (PKR) juga turut mengumumkan cogan kata baru berbunyi “Parti Untuk Semua” dalam Kongres Nasional Tahunan ke-5 bagi memperhebatkan usaha mereka menyerap ahli bukan Melayu. Kongres PKR semalam juga dimulakan dengan persembahan tarian dan irama pelbagai kaum yang begitu menakjubkan sekali.



Usaha mempelbagaikan budaya telah menjadi satu lumrah dalam parti-parti komponen Pakatan Rakyat. Ini telah memberi peluang kepada ahli-ahli parti mempelajari dan menyesuaikan diri dalam masyarakat Malaysia yang majmuk ini. Usaha kedua-dua parti rakan kita dalam menarik ahli pelbagai kaum telah mengundang cabaran kepada kita, dan inilah satu persaingan sihat yang harus kita sahuti.



Keputusan Pilihanraya Umum ke-12 ini telah memberi isyarat yang jelas kepada kita. Rakyat Malaysia ingin satu kerajaan yang inclusive dan bukannya divisive. Keputusan pilihanraya di Amerika di mana Presiden Barack Hussein Obama telah menjadi presiden Afro-amerika yang pertama juga memberi isyarat kepada seluruh dunia. Dasar inclusive adalah dasar yang mewakili masa depan.



Saya telah nampak pucuk pimpinan kita sedang berusaha menarik perhatian dan sokongan daripada kaum Melayu. Setiausaha Agung DAP Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng berusaha mempelajari dan menghayati ayat-ayat al-Quran. Yang Berhormat Teresa Kok pula berusaha memahami soal yang berkaitan dengan agama Islam. Ini merupakan contoh-contoh yang bagus. Namun begitu, saya berasa usaha kita masih tidak mencukupi. Adakah ahli-ahli kita dari akar-umbi turut berikthiar melangkah keluar dari “cultural comfort zone” atau “zon keselesaan budaya” untuk berinteraksi dan mempelajari budaya lain?








Beberapa hari dahulu seorang rakan saya yang berbangsa Melayu telah memberitahu saya bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diterajui oleh DAP telah keliru dengan Tulisan Jawi dan Bahasa Arab. Kerajaan Pulau Pinang seharusnya menambahkan tulisan Jawi di atas papan-papan tanda jalanraya di sekitar George Town dan bukannya Bahasa Arab. Ini sebab Tulisan Jawi adalah budaya tempatan, sama seperti bahasa Cina dan Tamil. Bahasa Arab pula adalah bahasa asing. Tulisan Jawi dan Bahasa Arab adalah 2 bahasa yang tidak sama dan tidak harus dikelirukan.



Jika kita mengkaji sejarah secara lebih mendalam, sistem tulisan Melayu telah mengalami beberapa perubahan besar sejak beberapa kurun dahulu. Orang Melayu pada asalnya menulis dalam huruf ciptaan sendiri yang dikenali sebagai huruf Rencong. Kemudian, Orang Melayu menggunakan huruf-huruf Palava dan Sanskrit untuk menulis bahasa Melayu pada zaman Hindu-Buddha Srivijaya. Selepas kedatangan agama Islam dan saudagar Arab, sistem tulisan Melayu ditukar kepada huruf Arab. Oleh itu, Tulisan Jawi sebenarnya adalah Bahasa Melayu yang dituliskan dengan huruf-huruf Arab. Huruf-huruf itulah yang digunakan untuk menulis bahasa Melayu sebelum kedatangan orang Eropah.



Walaupun tulisan Jawi tidak lagi digunakan secara meluas pada zaman ini, tapi tulisan ini masih mempunyai nilai sentimental dan nilai keagamaan yang dapat mewakili budaya Melayu. Jika tulisan Cina dan Tamil ditambahkan kenapa tidaknya tulisan Jawi? Ada alasan bahawa penambahan tulisan-tulisan itu ialah untuk memudahkan pelancong asing. Tetapi, kenapa pelancong Arab saja yang diberi keutamaan? Kenapa tidak Bahasa Jepun, Bahasa Korea dan Sepanyol diberi keutamaan juga?



Kawan saya yang berbangsa Melayu itu berasa penambahan Bahasa Arab itu menunjukkan ketidakpekaan kerajaan Pulau Pinang terhadap budaya Melayu. Tulisan Jawi yang dipaparkan di papan tanda jalan di sekitar bandaraya Shah Alam, Klang dan sebagainya telah disilap anggap sebagai Bahasa Arab. Tulisan Jawi Melayu itu sebenarnya bukan tulisan Arab tetapi Melayu.



Oleh itu, kita boleh nampak, konsep “Malaysian Malaysia” atau “Malaysia untuk Rakyat Malaysia” yang dilaungkan oleh pemimpin kita masih perlu diperkuatkan. Ini sebab, persefahaman antara kaum masih tidak lagi dipupuk secara rancak. Silaturahim antara kaum masih belum lagi disebarkan ke setiap lapisan masyarakat. Fahaman kita terhadap budaya, sejarah, bahasa dan sentimen kaum lain masih tipis. Oleh itu, saya menyeru semua anggota parti kita harus mempergiatkan “engagement” serta pempelajaran kita terhadap budaya lain. Ini sejajar dengan dasar parti-parti rakan kita di PAS dan PKR. Saya percaya usaha ini dapat meintergrasikan Pakatan Rakyat dan sekaligus menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia. Dengan sikap yang progresif ini, kita juga dapat meninggalkan UMNO, MCA dan MIC jauh dibelakang kita, di mana dasar racist masih diamalkan dan sentimen perkauman masih dipermainkan.












Barack Hussein Obama memenangi Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada 4hb November, dan ini telah menimbulkan satu persoalan: “adakah orang bukan Melayu layak menjadi Perdana Menteri?” Saya rasa warna kulit tidak akan menjadi satu isu apabila orang Cina dapat memahami akal fikrah orang Melayu dan orang India sedia menangani permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat Iban dan Kadazan.



Walaupun Ong Ka Ting adalah orang Cina, tetapi You mau Ong Ka Ting jadi PM kah? Samy Vellu orang India, tetapi You mau Samy Vellu jadi PM kah?



Jadi, warna kulit bukan satu perkara, tetapi performance dan ability, itulah faktor-faktor yang terutama.








Saya percaya permuafakatan yang kita memperjuangkan dapat menamatkan regime Barisan Nasional tidak lama kemudian dan Barack Hussein Obama yang berjiwa bangsa Malaysia akan muncul pada suatu hari kemudian.





■ Ucapan Timbalan Pengerusi DAP Cawangan SS2, Petaling Jaya, Selangor dan Timbalan Pengerusi DAPSY Bahagian Petaling Jaya Utara Lim Swee Kuan di Konvesyen Biasa DAP Negeri Selangor Ke-14 pada hari Ahad, 30hb November 2008



Posted In